Jodoh, pertemuan, ajal dan maut adalah ketentuan ilahi kepada setiap insan. Ini lah ketetapan hakiki dari Allah yang telah tertulis kepada setiap jiwa. Sebijak manakah manusia itu, segagah manakah manusia itu, akhirnya ketentuan Allah jua yang melebih segala daya fikiran dan tenaga manusia. Setelah sampai saat dan ketikanya fikiran manusia akan hilang menjadi nyanyuk, kekuatannya akan lemah sehingga kembalilah ia seperti zaman kanak-kanaknya. Ketahuilah setiap perkara yang berlaku dan bakal berlaku telah ditentukan sebelum manusia itu tahu bagaimana mahu melakukan sesuatu. Tahukah kita berapa lama kah jodoh kita? Mungkin sahaja esok lusa perpisahan akan terjadi. Oleh kerana kita tidak tahu bilakah ia akan terjadi, kita boleh berusaha untuk mengelakkan ia atau menangguhkannya dari berlaku. Jika kita tidak berusaha bermaksud perpisahan itu telah ditetapkan bagi kita dan kita sendiri jua yang mahu ia berlaku. Jika ia sudah berlaku maka manusia hendaklah redha kerana itu telahpun menjadi takdir baginya. Bukan dalam hal jodoh, tetapi setiap yang berlaku dan akan berlaku telah tertulis bagi kita. Itulah yang manusia perlu sedari siapa dirinya sebenar dan siapakah Penciptanya. Manusia akan melakukan sesuatu yang tertulis utk dirinya atau yang telah dipermudahkan Allah baginya. Sebab itulah doa adalah pokok bagi ibadat yang menunjukkan manusia lemah, Allah Maha Berkuasa, manusia kerdil, Allah Maha besar, manusia hanya tahu apa yang diajarkan kepadanya , Allah yang Maha Mengetahui dan sungguh luas ilmuNya. Orang yang berdoa dekat dengan rahmat Allah, orang tidak mahu berdoa , menunjukkan hatinya sombong dan takabur. Tidak perlu lihat orang lain, ukur lah kesombongan pada diri kita sendiri. Menganggap diri sendiri lebih baik atau pandai dari orang lain cukuplah baginya sifat ujub yang akan membawanya ke neraka jahannam.